lockStd

Monday, October 28, 2019

Lawatan ke gua-gua di Gunung Pulai - Bahagian 1

Tak sangka pula trip sarapan ke Warung Mat Noi Route 67 pada 28-Okt-2019 disambung pula dengan lawatan ke gua-gua yang berada di Gunung Pulai. Ini semua gara-gara Kak Lia (Puan Norlia merupakan wartawan bebas untuk Sinar) yang lewat sampai di Mat Noi. Tuan punya restoran memperkenalkan kami dengan Kak Lia. Perbincangan singkat menjurus kepada tujuan meluaskan kempen kesedaran Program Selamatkan Gunung Pulai. Rancangannya adalah menganjurkan Campmeet Pulai 2019.

 
Untuk tujuan ini, semua setuju untuk melihat cadangan tapak perkhemahan di tepi sungai yang menurut Kak Lia sangat sesuai. Apa lagi kami pun bergerak ke lokasinya. Walla!!! itu perkataan pertama keluar dari mulut setelah tiba dilokasi cadangan tapak perkhemahan. Sangat sesuai walaupun kawasan tersebut baru sudah dinaiki air. Mungkin waktu sekarang tidak sesuai - musim hujankan. Musim kemarau merupakan waktu terbaik untuk Campmeet Pulai nanti - setidak-tidaknya peserta tidak perlu risau tidur di dalam air.

Guide kami En Isa mengajak untuk melawat beberapa buah gua dikawasan sekitar. Antaranya Gua Kelambu, Gua Tembus, Gua Ikan. Sebelum masuk ke gua-gua ini,
 
En Isa memberi taklimat ringkas pantang larang apabila berada di dalam gua. Antara pantang larangnya adalah tidak boleh mengambil apa-apa di dalam gua tanpa izin dan tidak boleh bercakap besar. Selain itu jika anda seorang wanita mestilah suci dari haid. Tekun juga la kami mendengarnya.

Dari tempat taklimat, kami melalui jambatan gantung. Menarik juga kerana jambatan ini belum saya dokumentasikan. Insha Allah cerita jambatan ini akan diceritakan di dalam artikel yang lain pula nanti.

 
Selepas jambatan ini ada poster besar "Save Gunung Pulai" yang diletakan dihujung jambatan. Kak Lia juga merupakan aktivis Save Gunung Pulai yang telah membawa isu ini hingga ke pengetahuan pihak Menteri Besar Kedah.

 
Lawatan kami bermula dengan memasuki Gua Kelambu. Menurut En. Isa, Gua Kelambu dijaga oleh makhluk halus 5 bersaudara, 3 lelaki dan 2 perempuan. Antara yang menarik di sini adalah tempat beradu raja, makam sultan dan beberapa lagi arca-arca menarik yang terbentuk dari stalagmait dan stalaktait gua batu kapur. Sesuatu yang menarik di gua ini adalah bau harum semerbak di dalamnya. Sebaik melintasi 'kawasan' tertentu bau harum itu hilang. Hanya melintas 'sempadan' haruman kembali menusuk hidung.
 
Harum sungguh baunya. Apabila ditanya kepada rakan-rakan lain tidak ada siapa yang merasai keharumannya.

Setelah keluar dari situ kami melalui kawasan perkuburan untuk ke gua yang seterusnya. Berhenti seketika menghadiahkan AlFatihah kepada roh-roh yang jasad mereka disemadikan di situ. Antara yang menarik disitu satu nisan yang bertarikh 997. Sukar juga mempercayainya kerana tarikh tersebut agak lama tetapi keadaan batu tersebut seperti baru. Tidak ada kesan-kisan nisan purba. Cuma nisan biasa. Dua pusara tersebut berada agak tinggi dari pusara-pusara lain.

Dengan memanjat sedikit, kami menemui sebuah lagi gua iaitu Gua Tembus. Kata En Isa pintu gua ini harus di 'buka' untuk memasukinya. Antara yang menarik di sini adalah penemuan kulit-kulit siput yang begitu banyak. Pada hemat saya siput-siput laut terlalu banyak di sini dengan erti kata lain seperti tempat pembuangan. Siput-siput itu seperti sudah dimakan kerana hujung belakangnya telah dipotong. Selain itu terdapat tulisan-tulisan purba di dinding gua. Juga terdapat satu terowong pendek yang dikatakan laluan Bunian. Ada tiga bongkah kayu di situ yang menurut En Isa dijaga oleh tiga puteri iaitu Puteri Subaidah, Puteri Embun dan Puteri Ayu. Apabila ditanya adakah mereka turut menjaga gua yang sebelumnya. Jawapan ringkas dari beliau adalah tidak, tanpa penjelasan lanjut.

Gua Tembus ini diberi nama sedemikian kerana pintu masuk dan pintu keluarnya berbeza. Kami keluar dipintu lain dan mengikuti denai menuju ke gua seterusnya, Gua Ikan. Dalam perjalanan ke Gua Ikan kami melalui Gua Matahari. Di dalam gua ini - kami hanya melihat dari jauh terdapat struktur seperti keris, mungkin juga terpengaruh dengan cerita En Isa kerana ia hanyalah salah satu bentuk stalagmait dan stalaktait.

Gua Ikan merupakan satu gua batu kapur kecil yang mempunyai kolam air. Yang menariknya di sini kolam tersebut mempunya ikan. Walaupun tidak besar tapi anak-anak ikan kecil itu berenang dengan aktif setelah air dikocak. Mungkin terdapat sungai bawah tanah yang merupakan salah satu komponen gua-gua batu kapur.

Gua Ikan merupakan gua terakhir yang kami lawati. Insha Allah jika ada kelapangan di lain waktu lawatan akan diteruskan di siri-siri gua seterusnya. Lawatan kami disudahi dengan makan tengah hari yang ditaja oleh Mat Noi Route 67. Semoga murah rezeki Mat Noi

No comments:

Post a Comment